HULU TERENGGANU: Enam beranak yang menghuni rumah bot uzur di Tasik Kenyir di sini ditawarkan penempatan sementara sebelum kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik mereka siap, Oktober depan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, rumah sementara yang terletak di Lawit di sini diyakini dapat memberi lebih keselesaan kepada keluarga Shamsuddin Khalid, 45, di samping menjamin keselamatan anak-anak yang berusia lapan bulan hingga 11 tahun.
“Kerja-kerja pembinaan rumah PPRT mereka di Kampung Basung akan bermula Ogos depan dan dijangka siap Oktober nanti.
“Sementara menunggu rumah itu siap, Ketengah menawarkan kediaman di hotel bajet kita di Lawit dan berharap mereka bersedia berpindah segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan di Tasik Kenyir hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan kisah enam beranak berkenaan yang menghuni rumah rakit di Tasik Kenyir sejak 12 tahun lalu dalam keadaan serba kekurangan berikutan pendapatan Samsuddin sebagai pengusaha rumah bot terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, pihaknya bersetuju menyumbangkan tablet kepada anak-anak Razali yang bersekolah di Tahun 1, 3 dan 5 bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).