Enam anggota sindiket 'bookie' bola Euro 2020 ditahan - Utusan Malaysia

Enam anggota sindiket ‘bookie’ bola Euro 2020 ditahan

SEBAHAGIAN daripada peralatan yang digunakan oleh anggota sindiket  penganjuran pertaruhan bola sepak sempena kejohanan Euro 2020 yang ditahan di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Enam individu termasuk dua wanita dipercayai anggota sindiket  penganjuran pertaruhan bola sepak sempena kejohanan Euro 2020 ditahan dalam Op Soga V11 di sini, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek terlibat ditahan dalam operasi tersebut yang melibatkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah pada pukul 11.30 malam.

Menurutnya, kesemua suspek ‘bookie’ bola yang ditahan itu adalah penduduk tempatan berusia antara 19 tahun hingga 50 tahun. 

“Kumpulan ini dipercayai melakukan aktiviti mengurus dan menganjurkan pertaruhan sempena Euro 2020 selain mempromos judi dalam talian dengan menyasarkan rakyat Malaysia.

“Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan memperoleh keuntungan kira-kira RM50,000 hingga RM70,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Zaman menambah, polis turut merampas 11 unit telefon bimbit, satu set komputer, tiga komputer riba, satu modem dan wang tunai RM3,000 bagi menjalankan siasatan.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan dan  barangan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai laman web bagi kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4 (1)(c)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu, tambanya,  kes itu juga disiasat di bawah Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya