KUALA LUMPUR : Menyedari ada persoalan yang ditimbulkan mengenai keberkatan hasil berlakon atau apa jua bidang melinatkan seni hiburan, penceramah bebas dan pelakon, Cik Man menegaskan ia perlu dilihat daripada banyak aspek.
Menurut Cik Man atau sebelum ini dikenali dengan panggilan PU Azman, perkara tersebut subjektif untuk dikupas namun tidak menolak harus dilihat pada apa jenis bayaran yang diterima seseorang itu berdasarkan beberapa faktor.
“Pendapatan dalam dunia hiburan ini, soal keberkatan itu urusan Allah SWT. Kalau misal kata, dia dibayar dengan melakukan sesuatu perkara yang haram, contoh situasi, sebelum ini pelakon itu berhijab, kemudian dia buka tudung sebab diminta dan dibayar kerana watak, itu yang bermasalah.
“Berlakon jangan sampai melakukan apa yang dilarang dalam agama. Tetapi saya percaya banyak aspek yang harus dilihat jika nak sebut soal ini,”katanya.
Cik Man berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media secara virtual bagi mempromosikan sitkom Bujang Tampan Selamba siaran TV9, hari ini.
Selain itu, Cik Man juga menjawab mengenai kecaman yang mungkin diterimanya setelah mula dilihat serius terbabit dalam bidang lakonan setelah sebelum ini memegang status ustaz.
“Pembenci ini ada di mana-mana. Kita pekakkan sahaja telinga tetapi itu tidak bermaksud saya tidak menerima kritikan. Bagi saya, dakwah itu boleh dibuat di mana-mana. Ada yang kata industri lakonan itu hitam, bagi saya kita sendiri yang kena tahu apa nilai yang hendak dibawa.
“Boleh saja bawa nilai murni, bergantung pada penerimaan pemain-pemain industri. Saya berlakon kerana minat dan dalam masa sama boleh juga berdakwah.
“Contoh, kalau berada di set, ada sahaja artis yang bertanyakan hal tentang agama, saya jelaskan dan terangkan. Secara halus kita boleh bina hubungan yang baik dengan pemain industri dan pecahkan tembok rasa malu atau apa sahaja pandangan orang tentang dakwah sebelum ini,”katanya.
Dalam pada itu, Cik Man yang selesa berlakon kini juga melahirkan rasa gembira kerana semakin ramai pengarah dan penerbit memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk menggalas sesuatu watak.
Lebih menggembirakan, watak yang diberikan juga lebih luas dan terbuka serta tidak terarah pada watak ustaz semata-mata.