KUANTAN: Pahang mencatatkan dua kes kematian baharu Covid-19 membabitkan warga emas yang dilaporkan ke Kementerian Kesihatan, hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, berdasarkan kepada pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 114 kes.
“Kes kematian ke-113 merupakan seorang lelaki berusia 70 tahun dari Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, dekat sini manakala kes ke-114 juga merupakan lelaki dan berusia 78 tahun berasal dari Felda Mayam, Bera.
“Namun kes ke-114 yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenangan di Maran disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit lain iaitu leukemia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Bahari, sebanyak 131 kes baharu dilaporkan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 di mencecah 12,211 kes.
“Sebanyak 91 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 40 kes warganegara asing… namun telah diklasifikasikan 130 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan satu kes import dari Kuala Lumpur.
“Terdapat 86 kes diperoleh daripada saringan kluster, 40 saringan kontak rapat empat saringan bergejala dan satu saringan bersasar,” katanya.
Beliau berkata, terdapat sedikit pertambahan kes di tujuh daerah seperti yang dicatatkan dan kes tertinggi ialah di daerah Lipis iaitu 40 kes, diikuti Temerloh 38 kes, Kuantan 24 kes, Bentong 11 kes, Bera sembilan kes, Raub (lima kes) dan Jerantut (empat kes). – UTUSAN ONLINE