IPOH: Dua saksi pendakwaan termasuk mangsa kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan memberi keterangan di mahkamah di sini secara tertutup.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya berkata, kedua-dua saksi itu tidak boleh dilihat oleh pihak pendakwa raya mahupun peguam sebaliknya hanya mendengar keterangan mereka.
Menurut beliau, kedua-dua saksi itu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah.
“Identiti kedua-dua saksi perlu dilindungi dan keputusan itu diambil berdasarkan hasil inkuiri yang dijalankan,” katanya dalam prosiding yang berlangsung melalui aplikasi Zoom hari ini.
Menurut Abdul Wahab, dalam prosiding itu nanti, nama, alamat dan gambar saksi terlindung juga tidak boleh disiarkan.
“Nama mangsa hanya boleh disebut di mahkamah semasa prosiding berlangsung namun identitinya tidak boleh dipaparkan kepada umum,” katanya.
Menerusi laporan media pada 28 Mei lalu, mahkamah memaklumkan akan membuat inkuiri terhadap kedua-dua saksi dalam kes itu sebelum membuat keputusan sama ada saksi memberi keterangan secara tertutup atau sebaliknya.
Pada April lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin mengemukakan permohonan rasmi untuk kedua-dua saksi memberi keterangan secara tertutup (in-camera) tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguam selain proses pengecaman ke atas mereka juga dilakukan tanpa mereka dilihat oleh pihak berkenaan.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan pada 12 hingga 16 Julai ini.