ALOR SETAR: Dua sahabat yang diberhentikan kerja di sebuah kilang di sini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 kini beralih arah dengan mencari pekerjaan baharu yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka iaitu penggali kubur.
Mohd. Muzzamil Yaakob, 21, dari Taman Lelasari dan rakannya, Fazli Othman, 26, dari Mergong di sini yang sebelum ini bekerja di kilang memproses makanan, mula menjalankan kerja tersebut pada Oktober tahun lalu.
Menurut Mohd. Muzzamil, dia dan Fazli mendapat tawaran menggali kubur daripada Kementerian Kesihatan apabila jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia meningkat di daerah ini ketika itu.
Katanya, mereka bersepakat untuk menyahut cabaran tersebut walaupun terpaksa menanggung risiko melibatkan kematian pesakit Covid-19.
“Setiap hari, pasti ada kes kematian melibatkan pesakit Covid-19, malah saya terpaksa bekerja dari pagi hingga malam jika ada kes kematian.
“Kebanyakannya kami menggali kubur di tanah perkuburan di sekitar daerah Kota Setar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Fazli pula memberitahu, mereka mendapat upah menggali sebuah kubur dan menimbuskan jenazah dengan harga RM350.
Katanya, dia dan Mohd. Muzzamil telah menggali lebih 50 kubur untuk pesakit Covid-19 yang mati sejak Oktober tahun lalu.
“Kami terpaksa menggunakan jengkaut untuk mempercepatkan kerja menggali kubur dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sebelum itu, kami terpaksa memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi mengikut SOP dalam pengurusan pengebumian mangsa Covid-19.
“Bekerja dengan memakai PPE sangat panas, kadangkala rasa penat dan pening,” katanya.