SEREMBAN: Dua pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM15,500 daripada orang tengah bagi melepaskan warganegara asing daripada sebarang tindakan Jabatan Imigresen.
Kedua-dua tertuduh Mohamad Izhmi Mohamad Nor, 35, dan Muhammad Ali Mohammed Redzwa, 27, yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Tertuduh pertama, Mohamad Izhmi didakwa atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Mohamad Jeffry Mohd. Zin sebagai orang tengah yang mana dia mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh di Kedai Burger Aboi, Kampung Jijan di Nilai pada Oktober 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pilihan, Mohamad Izhmi didakwa di lokasi dan tarikh sama diberikan suapan RM10,000 oleh orang tengah bagi melepaskan warganegara Indonesia daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh gagal melaporkan suapan yang diberikan kepada SPRM dan didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu tertuduh kedua, Muhammad Ali didakwa atas empat pertuduhan menerima wang keseluruhan berjumlah RM5,500 daripada Zul Anishaffizie Zakaria sebagai orang tengah melalui empat transaksi berasingan iaitu tiga ke akaun bank milik isterinya dan satu ke akaun individu lain di Maybank Islamic Berhad Cawangan Nilai antara 30 Disember 2017 hingga 1 Disember 2019.
Tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya dan pendakwaan dibuat Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Seterusnya, Muhammad Ali turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan di mana dia sebagai pegawai Imigresen di lokasi, masa dan tarikh sama didakwa diberikan wang suapan berjumlah RM5,500 daripada orang tengah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang berkenaan kepada SPRM mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh pertama, Mohamad Izhmi bagi semua pertuduhan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.
Tertuduh kedua, Muhammad Ali pula dibenarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Mohamad Zahid Ahmad dan tertuduh kedua diwakili peguam, Hidayah Muslimah.
Kes akan disebut semula pada 23 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Seremban.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menjalankan operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen pada 16 November 2020 yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.