PETALING JAYA: Alah bisa tegal biasa. Itu situasi guru-guru yang sudah lali melalui cabaran mengajar di kawasan pedalaman sama ada melalui kawasan berbukit-bukau, menempuh laluan jalan berlumpur, menyeberang sungai mahupun berdepan ancaman binatang liar.
Sejauh mana kawasan sekolah yang perlu diredah, semangat mereka tidak pernah luntur demi melunaskan tanggungjawab terhadap anak bangsa.
Kisah cikgu ‘otai’
Jikri Ibrahim, 59, merupakan seorang guru yang sudah berpengalaman mengajar selama 30 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Balat.
Sekolah pedalaman tahap tiga di Kinabatangan itu dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) yang hanya mempunyai 54 murid serta 10 guru.
Katanya, setakat melihat kelibat buaya setiap kali ingin menyeberang sungai dengan menaiki perahu ke sekolah dalam jarak lima kilometer (km) adalah perkara biasa.
Namun bagi guru matematik itu, perkara yang menjadi luar biasa sehingga sekarang masih ada keluarga murid yang langsung tidak memiliki telefon bimbit.
Justeru, sudah tentu ia menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan.
“Hendak atau tidak saya perlu mengadakan kelas secara bersemuka di sebuah dewan dalam kawasan kampung dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) kawalan pencegahan Covid-19 diamalkan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.
“Contohnya, kalau hari Isnin saya akan mengajar dari pukul 8 hingga 9 pagi dan kehadiran murid sangat memberangsangkan kerana saya juga tinggal dalam kampung yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jikri bakal bersara 17 November depan dan pernah meraih anugerah sebagai guru cemerlang peringkat negeri Sabah.
Katanya, kejayaan melaksanakan PdPR merupakan sumbangan guru-guru serta guru besar yang hebat serta disokong oleh kakitangan sokongan seperti kerani dan pengawal keselamatan dalam memastikan kemenjadian murid dapat direalisasikan.
Cerita cikgu muda
Situasi berbeza pula dialami oleh seorang guru dari SK Sungai Lokan, Najme Nasir, 31.
Katanya, dia terpaksa pergi ke rumah murid sejauh tiga ke lima kilometer bagi menghantar modul kerja dan latihan PdPR.
Ini kerana, masalah ketara apabila sebuah keluarga yang mempunyai adik beradik yang ramai terpaksa berkongsi telefon bimbit sehingga kapasiti telefon itu tidak mampu menampung dokumen kerja yang diberikan.
Lantaran itu, dia dan beberapa guru lain mengambil inisiatif mengunjungi rumah murid seminggu sekali untuk menyerahkan modul pembelajaran tersebut.
“Kami juga turut dibantu oleh wakil murid dan pengawal keselamatan yang akan bergilir-gilir menyerahkan modul latihan yang diberikan. Mereka juga akan dipantau dalam WhatsApp dengan menghantar gambar latihan yang sudah disiapkan untuk disemak oleh guru.
“Walaupun begitu, saya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada aplikasi WhatsApp kerana ramai yang tidak akan menghantar tugasan disebabkan masalah tiada peranti, capaian internet atau terpaksa berkongsi dengan adik-beradik lain,” katanya.
Menurut Najme yang berasal dari Pitas, Sabah, terdapat segelintir murid yang tidak membuat langsung latihan yang diberikan di rumah.
“Mereka bukannya malas kerana kalau sesi persekolahan biasa mereka memang buat kerja. Mungkin disebabkan tidak bersemuka dan tiada guru yang dapat memantau disebelahnya, dia tidak membuat kerja tersebut kerana terasa berat atau sukar untuk menjawab,” jelasnya.
SK Sungai Lokan dikategorikan sebagai sekolah pedalaman tahap dua kerana mempunyai bekalan elektrik, namun bekalan air masih bergantung kepada air hujan.
Sekolah itu terletak dalam ladang kelapa sawit dengan mempunyai 62 murid dari darjah satu hingga enam serta sembilan guru.
Menurut Najme, walaupun capaian internet adalah cabaran utama disebabkan kawasan sekolah ini dikelilingi bukit bukau, sekolah itu pernah menempa nama dalam pertandingan catur peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE