BALING: Seekor gajah betina dan anaknya yang berkeliaran berhampiran kawasan kampung serta memusnahkan tanaman di Kampung Batu Lapan di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Khamis lalu.
Gajah bunting berusia kira-kira 20 tahun dan anak jantannya berusia tiga tahun itu ditangkap selepas ditembak dengan menggunakan ubat pelali sebelum ditambat di kawasan berhampiran.
Pengarah Perhilitan Negeri Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang kemudian dibawa ke kampung tersebut untuk memujuk ibu dan anak gajah berkenaan sejak dua hari lalu.
“Proses memindahkan dua ekor gajah liar ini ke dalam lori pada hari ini turut dibantu gajah denak bernama Kasturi dan Alang tersebut yang mana proses pemindahan mengambil masa kira-kira tiga jam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kata beliau, dua gajah berkenaan akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Royal Belum, Gerik di Perak.
“Ini merupakan pemindahan kali kedua pada tahun ini dan kes pertama melibatkan seekor gajah jantan berusia kira-kira 60 tahun di Kampung Kota Aur, Sik pada bulan lalu,” ujarnya.
Tambahnya, operasi menangkap gajah liar itu terpaksa dilakukan setelah mendapat aduan penduduk kampung yang bimbangkan keselamatan selain kemusnahan hasil tanaman di kawasan kebun dan dusun buah-buahan.
“Kumpulan haiwan liar ini dikesan bergerak dari Hutan Simpan Ulu Muda dan Gunung Inas melalui pinggir kampung untuk mencari makanan dan merosakkan banyak tanaman penduduk kampung seperti pisang, dokong, durian, kelapa sawit dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Mohamad Shahadan Abdullah berkata, daerah ini sememangnya terkenal dengan gajah dan cadangan untuk mewujudkan kawasan pelancongan haiwan itu di daerah ini sebagai produk pelancongan akan dibincangkan.
“Daerah ini termasuk Sik merupakan kawasan hutan dan habitat hidupan liar seperti gajah dan jika kita mengadakan satu kawasan khas seperti di Gerik itu amat baik sekali dan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong ke daerah ini,” katanya. – UTUSAN