TAIPING: Dua beradik berdepan detik mencemaskan apabila diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kebun durian di Bukit Balai Raja dekat Batu Kurau, kelmarin.
Kejadian pada pukul 6.20 petang itu berlaku ketika dua beradik berusia 19 tahun dan 20 tahun itu mahu pulang ke rumah setelah selesai menebas di kebun berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua lelaki itu didatangi suspek berusia 41 tahun dalam keadaan marah sambil memegang sebilah parang sepanjang 40 sentimeter.
Katanya, suspek yang juga bekerja di kebun durian berhampiran menuduh mangsa berusia 20 tahun itu membuat sesuatu seperti menghantar ‘benda’ tidak baik kepadanya.
“Mangsa dan adik lelakinya yang cemas melihat suspek telah melarikan diri dan tertinggal dua unit telefon bimbit yang diletakkan di dalam raga dua buah motosikal.
“Ketika melarikan diri, mangsa sempat melihat suspek memecahkan kedua-dua motosikal mereka yang dipinjamkan majikan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas sejam, mangsa dan adiknya kembali semua ke lokasi kejadian namun mendapati telefon bimbit mereka hilang manakala motosikal pula telah rosak.
“Suspek dipercayaimemotong tayar motosikal selain memecahkan bahagian meter dan cermin lampu bahagian depan kenderaan itu,”katanya.
Tambah beliau, suspek bagaimanapun ditangkap di rumahnya di Kampung Perak semalam dan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE