KANGAR: Seorang doktor yang juga penceramah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebar berita tidak benar dengan memuat naik ceramahnya di aplikasi Facebook yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam berkaitan vaksin jenis Sinovac pada 20 April lalu.
Tertuduh, Jamnul Azhar Mulkan, 53 membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Musyiri Peet.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai klinik di Pendang, Kedah itu memuat naik video ceramah beliau di akaun Facebook ‘Uidm Polimas’ dengan niat untuk menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Bapa kepada lapan orang anak dan kini berkerusi roda akibat kemalangan pada 2017 itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 8.10 pagi di Klinik Kesihatan Beseri, Padang Besar pada 20 April lalu.
Menurut fakta kes, dalam video terbabit, tertuduh menyatakan bahawa vaksin jenis Sinovac yang diperbuat dari China itu dikhuatiri mempunyai ekstrak darah babi.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Sementara itu, Mohd Khairul Hafizuddin merayu agar anak guamnya diberikan hukuman yang minima memandangkan ini adalah kesalahan pertama dan sudah menyedari kesalahan yang dilakukan.
“Beliau bukannya seorang anti vaksin, malah sudah selesai menerima dua dos vaksin jenis Pfizer-BioTech sebelum ini. Selain itu beliau juga mempunyai enam orang anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang di sekolah menengah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Musyiri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membuat pembayaran.
“Saya berharap hukuman ini memberi pengajaran kepada orang di luar sana. Penyebaran maklumat seperti ini boleh membuat usaha kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok terjejas,” ujarnya.
Tertuduh kemudian membuat pembayaran tersebut dan dibebaskan. – UTUSAN ONLINE