PARIS: Nicholas Dlamini akan menjadi pelumba kulit hitam pertama dari Afrika Selatan akan beraksi di Tour de France bersama pasukan Qhubeka.
Dlamini datang daripada Pusat Pembangunan Berbasikal UCI di Afrika Tengah dan menyertai Qhubeka yang berpangkalan di Lucca, Itali.
“Dipilih untuk menyertai perlumbaan pertama Tour de France adalah ibarat mimpi menjadi kenyataan.
“Ia adalah cita-cita dari zaman kanak-kanak dan kini saya akan menikmati impian itu,” kata Dlamini yang bertukar menjadi pelumba profesional, tiga tahun lalu.
Prinsipal pasukan, Douglas Ryder berkata, ia adalah detik istimewa apabila pasukan mengumumkan Dlamini dalam senarai pelumba yang akan berlumba dalam kejohanan itu.
“Cerita Dlamini sangat istimewa dan dia berpeluang untuk meneruskan impiannya bersama pasukan ini.
“Pemilihannya menjelaskan segala yang kami cipta untuk pasukan ini. Kami memberikan harapan dan peluang kepadanya untuk beraksi di Tour de France,” katanya.-AFP