ALOR SETAR: Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian RM133,410 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan daripada seorang perempuan yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM) pada 20 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 53 pada masa itu mendakwa menerima panggilan tersebut ketika berada di rumahnya di Jalan Kuala Kedah pada pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, perempuan yang menyamar itu menyatakan TNB mahu menamatkan perkhidmatan TM yang dilanggani pesara guru itu kerana terlibat dalam aktiviti judi secara dalam talian.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan dan bercakap dengan seorang anggota polis yang dikenali sebagai Sarjan Lai Lee Cheng serta mengesahkan namanya terlibat dengan pelbagai kes jenayah.
“Kemudiannya mangsa turut dihubungi seorang lagi pegawai polis kononnya berpangkat Timbalan Komisioner, Datuk Mohd. Hafiz Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
“Mangsa didakwa terlibat kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta terdapat waran tangkap ke atas mangsa.
“Mangsa kemudiannya disambung semula ke IPK Seremban dan ditawarkan untuk menyelesaikan waran tangkap dengan diberi tiga pilihan sama ada akan direman atau akaun bank akan dibeku atau memberi kerjasama iaitu mangsa perlu mengikut arahan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akibat ketakutan, Elias berkata, mangsa telah membuat pembayaran dengan memasukkan wang ke dalam lima akaun bank berbeza melalui 16 kali transaksi berjumlah RM133,410 bermula pada 20 Mei hingga 22 Mei lalu.
Tambahnya, mangsa terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri dan meminjam daripada keluarga serta rakan sekerja untuk menjelaskan bayaran tersebut.
“Mangsa sedar ditipu apabila memberitahu perkara sebenar kepada ahli keluarga berkaitan wang yang dipinjam sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada 30 Mei,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.