Desakan UMNO buka Parlimen ada agenda tersendiri - Utusan Malaysia

Desakan UMNO buka Parlimen ada agenda tersendiri

ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Desakan UMNO memberikan tempoh 14 hari untuk Parlimen bersidang disifatkan sebagai pedang bermata dua.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, setiap parti dan pemimpin politik mempunyai agenda peribadi yang biasanya dikaitkan dengan agenda nasional dan ini adalah perkara biasa dalam politik negara. 

“Namun kita berharap supaya pemimpin politik lebih menumpukan kepada usaha menangani pelbagai masalah negara yang kini semakin kritikal berbanding kepentingan diri. 

“Aspirasi rakyat pada masa kini adalah bebas daripada masalah semasa. Rakyat semakin tidak selesa dengan tindak tanduk pemimpin politik di kedua-dua belah pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang. 

“Keadaan sekarang memperlihatkan tiada parti atau pemimpin politik yang benar-benar boleh diharapkan oleh rakyat. Sokongan terhadap mana-mana pihak diumpamakan sebagai ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Menurut Romzi, tindakan Perdana Menteri menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti persidangan Parlimen mungkin disebabkan ada beberapa pertimbangan lain yang perlu dibuat.

Namun, agak pelik kerana semua ahli Parlimen telah divaksin dan sesi sidang Parlimen hanya perlukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Romzi yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) UMS berkata, sekiranya sidang Parlimen masih tidak segera dibuka, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua negara boleh menetapkan tarikh khusus untuk menitahkan Parlimen bersidang.

Seandainya Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan Parlimen segera bersidang seperti titah Agong, notis pembukaan Parlimen 28 hari tidak perlu lagi dikeluarkan.

 

LEE KUOK TIONG

 

Seorang lagi penganalisis politik UMS, Dr Lee Kuok Tiong meminta semua pihak tidak membuat andaian sendiri bahawa PN enggan menyegerakan sidang Parlimen.

“Beri sedikit masa kepada kerajaan untuk membuat persiapan dan menetapkan SOP bagi memastikan sidang Parlimen berjalan lancar.  

“Penubuhan jawatankuasa untuk meneliti sidang Parlimen itu cukup jelas menunjukkan kesediaan PN menjunjung titah YPDA untuk membuka sidang Parlimen dengan segera.

“Malah, ada juga pemimpin PN seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan sidang Parlimen segera dibuka untuk membahaskan langkah yang boleh membawa rakyat keluar daripada kemelut pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah Kuok Tiong, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah kemaruk kuasa hingga tidak mampu membezakan antara politik dan soal kebajikan rakyat dalam berdepan pandemik Covid-19.

Namun, fokus utama kerajaan sekarang adalah untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya