KOTA BHARU: Sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau di negeri ini dianggap mengingkari titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V serta arahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sehubungan itu, individu yang melanggar SOP berkaitan aktiviti keagamaan itu turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Enakmen Maik 1994.
Kesalahan itu kata beliau, mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji kewibawaan dan titah perintah Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Negeri atau perintah Maik sebagai pihak berkuasa agama atau perintah mana-mana pegawai dan individu yang diberi kuasa.
“Jika disabitkan, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, tindakan tegas penguatkuasaan di bawah Seksyen 121 Enakmen Maik 1994 itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan.
“Perkara ini perlu dipertegaskan kerana masih berlaku pelanggaran SOP dikeluarkan Maik khususnya berkaitan aktiviti keagamaan di masjid, surau, musalla, dan madrasah di seluruh negeri.
“Lebih mendukacitakan lagi apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada Covid-19 akibat ketidakpatuhan SOP dikeluarkan,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, 37 jemaah di dua surau di Mukim Chetok, Pasir Mas dikompaun pihak berkuasa apabila solat Isyak berjemaah tanpa mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19
Ramadan lalu, sekumpulan penduduk di Kampung Pauh Lima dikatakan sanggup solat tarawih beramai-ramai dalam gelap di sebuah surau serta menyembunyikan selipar masing-masing bagi mengaburi mata pihak berkuasa. – UTUSAN