JOHOR BAHRU: Sistem demokrasi seharusnya dimanfaatkan untuk memenangi pembasmian melawan pandemik Covid-19 yang berfungsi untuk semak dan imbang pengurusan negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persidangan Parlimen perlu diadakan bagi memastikan pentadbiran negara tidak berada dalam keadaan kritikal.
Jelasnya, sistem demokrasi tidak seharusnya tewas hanya kerana terdapat pandemik yang sedang melanda negara.
“Tetapi sebaliknya sistem demokrasi itulah yang perlu dimanfaatkan dalam usaha kita melawan wabak berbahaya ini.
“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu atas keprihatinan serta keputusan tegas yang dicapai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu bekas Menteri Besar Johor itu berharap, Perdana Menteri dan seluruh Kabinet akan mengambil serius perkara itu dan menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan secepat mungkin.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah, langkah itu bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jelas Ahmad Fadil, Seri Paduka amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform utama wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dilangsungkan atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.