Dakwaan sogok polis RM120,000, peniaga ayam bakar mengaku tak bersalah - Utusan Malaysia

Dakwaan sogok polis RM120,000, peniaga ayam bakar mengaku tak bersalah

MOHD. Nizam Mohamed Lazim dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan bersubahat memberikan wang suapan RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah, minggu lalu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang peniaga ayam bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat memberikan wang suapan RM120,000 kepada pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Mohamed Lazim, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu telah bersubahat dengan rakan lelakinya berusia 39 tahun untuk memberikan suapan RM120,000 kepada pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Tertuduh didakwa memberikan suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kepada rakannya yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu.

Mohd. Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani di daerah Petaling dekat sini kira-kira pukul 9 malam, 24 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh serius dan hukuman boleh dikenakan kepada tertuduh.

“Pendakwaan juga memohon syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan,” katanya.

Peguam, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang juga bekerja sambilan sebagai juruteknik penyaman udara merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Selain itu, anak guam juga perlu menjaga dua anak saudaranya yang telah kematian ibu bapa dan mempunyai pendapatan tidak tetap antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan serta tarikh sebutan semula kes pada 12 Julai depan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya kerana mahu melepaskan rakannya akibat kesalahan memiliki dadah, seorang juruteknik penyaman udara sanggup menyogok pegawai kanan polis sebanyak RM120,000 di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, dekat sini.

Bagaimanapun, tindakannya itu membawa padah apabila lelaki berusia 36 tahun itu ditahan SPRM Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya