SHAH ALAM: Peserta Selangor Xtiv Virtual Marathon 2021 yang sudah menerima atau mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19 bakal menerima diskaun yuran pendaftaran sebanyak 10 peratus.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, insentif itu bertujuan menggalakkan orang ramai khususnya peserta program berkenaan untuk mendaftarkan diri bagi program vaksinasi yang sedang digerakkan kerajaan.
Beliau berkata, selain itu, langkah yang diambil berkenaan juga adalah bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini berhubung kepentingan pengambilan vaksin segera.
“Pejabat Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor mengambil inisiatif ini sebagai usaha untuk membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok 80 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan rasa terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bahawa sehingga 1 Jun, Selangor hanya menerima 615,20 dos vaksin dan bukannya 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.
Berikutan itu, baginda berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepatkan dan menambah bilangan dos vaksin berkenaan untuk rakyat negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, pendaftaran siri kedua Selangor Xtiv Virtual Marathon 2021 dibuka pada 1 Jun lalu dan telah mendapat hampir 1,000 penyertaan sehingga Rabu.
“Program ini turut mendapat perkongsian serta capaian di media sosial mencecah 100,000 tontonan dan jumlah penyertaan dijangka akan meningkat sehingga tarikh tutup pendaftaran pada 14 Julai depan,” katanya.
Peserta yang ingin mendaftarkan diri dalam program ini boleh melayari laman https://www.irun.my/collections/xtiv-virtual-run/products/-new-irun-selangor-xtivvirtual-marathon-2 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN ONLINE