KEPALA BATAS: Seorang lelaki menggunakan sebuah lori satu tan untuk mencuri dan membawa lori tong sampah besi dalam kejadian di sini, Khamis lalu.
Bagaimanapun, suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan polis di Bayan Baru kelmarin selepas polis menerima laporan kejadian tersebut daripada pemilik tong sampah besi itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian Khamis lalu itu, pemilik sebuah kedai aluminium menyedari kehilangan tong sampah itu pada pukul 4.30 petang selepas tiada di tempatnya di hadapan kedai.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tong sampah yang digunakan sejak dua tahun lalu itu ditarik dengan sebuah lori kira-kira pukul 6.30 pagi sehari sebelumnya (Rabu).
“Lokasi kejadian adalah di hadapan sebuah rumah kedai dan tidak berpagar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah lori pengangkut tong sampah, sebuah tong sampah besi yang ditutup dengan kanvas dan anak kunci bagi siasatan lanjut.
Tambahnya, soal siasat ke atas suspek juga mengaku terlibat dalam kegiatan itu menggunakan lori miliknya.
“Suspek juga memiliki 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.,” katanya.