PETALING JAYA: Kenderaan dinaiki empat individu yang cuba melarikan diri ketika dikejar kenderaan peronda polis (MPV) terbabas dan memasuki longkang besar berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, kereta dinaiki mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota MPV yang sedang membuat rondaan di Jalan Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, susulan itu, anggota bertugas mengarahkan pemandu kereta itu berhenti untuk pemeriksaan namun dia terus memecut kenderaan dan melarikan diri.
“Anggota MPV terbabit kemudian meminta bantuan daripada Pusat Kawalan Cheras dan tiga MPV lain dikerahkan membantu menahan suspek.
“Ketika MPV mengejar kereta berkenaan sejauh beberapa kilometer, kenderaan itu terbabas sendiri di jalan berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Idzam berkata, pihaknya memberkas tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 36 tahun dengan bantuan orang ramai.
Jelasnya, bagaimanapun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya giat dijalankan.
“Semakan awal mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
“Saringan awal air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.