KUANTAN: Pahang mencatatkan sebanyak 118 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif wabak tersebut iaitu 13,095 kes.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, berdasarkan jumlah kes baharu itu, 90 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 28 kes merupakan warga asing.
“116 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, dua kes import dari Selangor, 74 kes diperoleh daripada saringan kluster, 27 saringan kontak rapat, enam saringan bergejala dan 11 saringan bersasar.
“Sebanyak sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes yang didahului Kuantan mencatatkan kes daerah paling tinggi (52 kes), diikuti Temerloh (29 kes).
“Selain itu, Cameron Highlands (13 kes), Bera (12 kes), Bentong (empat kes), Jerantut (tiga kes), Maran (tiga kes), dan masing-masing satu kes di Pekan dan Raub,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Dr. Bahari, terdapat dua kes kematian baharu di Temerloh menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 124 kes.
“Kes ke-123 merupakan seorang lelaki berusia 69 tahun dari Taman Bahagia Makmur. Difahamkan mangsa mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga. Kes ke-124 merupakan seorang lelaki berusia 67 tahun dari Taman Temerloh Jaya Indah,” katanya.
Sementara itu, lima kluster masih aktif sekali gus mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Sentral Triang, Bera (tujuh kes), Kluster Delima Raya, Bentong (tiga kes), Kluster Rantau Kenanga, Maran (21), Kluster Pasar Kemunting, Kuantan (29 kes) dan Kluster Indera Mahkota 16, Kuantan (14 kes).
“Sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Temerloh.
“Tiga daerah iaitu Raub, Rompin dan Pekan berada dalam zon kuning manakala setakat ini tiada daerah berada dalam zon jingga dan hijau,” katanya.