JEDDAH: Jumlah kes pulih daripada jangkitan virus Covid-19 di Arab Saudi dilaporkan terus menunjukkan peningkatan yang ketara.
Hal itu meskipun negara itu masih merekodkan turun naik kes baharu Covid-19 antara 1,000 hingga 1,200 kes sejak beberapa minggu lalu.
Sebanyak 1,510 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 457,128 kes.
Lapor Arab News, kadar kes pulih daripada Covid-19 di Arab Saudi meningkat kepada 96.1 peratus.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai beberapa varian, Kementerian Kesihatan menegaskan aspek kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan mereka.
Jelas kementerian itu, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes baharu Covid-19 dari semasa ke semasa.
“Virus sentiasa berubah menerusi mutasi dan kejadian ini dijangkakan termasuk kes koronavirus.
“Oleh itu, kita harus mematuhi peraturan, langkah berjaga-jaga dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 untuk membendung penularan jangkitan virus ini,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Mohammed Al-Abd Al-Aly.
Semalam, Arab Saudi merekodkan sebanyak 1,212 kes baharu Covid-19. – AGENSI