Covid-19: Johor umum pakej rangsangan ekonomi RM241 juta - Utusan Malaysia

Covid-19: Johor umum pakej rangsangan ekonomi RM241 juta

HASNI Mohammad ketika mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 yang disiarkan secara langsung di Facebook di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM241 juta yang mengandungi 33 inisiatif bertunjangkan dua fokus iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik dan pengukuhan bantuan keselamatan sosial bagi mengurangkan beban akibat penularan Covid-19.

Dinamakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, inisiatif tersebut antaranya memperuntukkan bantuan RM500 kepada pengusaha kantin, pemegang lesen premis gunting rambut atau salun, pemandu bas dan van sekolah, penerima e-Kasih serta imam, bilal serta noja.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, golongan hilang pekerjaan atau pendapatan turut menerima sumbangan berjumlah RM500 yang membabitkan seramai 10,000 pekerja yang terkesan selain bantuan berjumlah sama kepada 630  ketua-ketua kampung di seluruh negeri.

“Sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan pengamal media dan penggerak Info on Wheels yang membuat penerangan dan advokasi tentang pandemik di seluruh negeri, buat pertama kali dalam tempoh pandemik ini, kerajaan negeri menyalurkan pemberian sebanyak RM500 kepada 300  individu terlibat dan diselaraskan Jabatan Penerangan Johor.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi mengadakan klinik kaunseling, webinar psikologi dan kaunseling serta ujian psikologi secara dalam talian selain menyalurkan baucar barangan bernilai RM200 kepada 300,000 penerima yang dikategorikan dalam keluarga B40,” katanya ketika mengumumkan pakej tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasni berkata, bantuan program bakul makanan bernilai RM100 kepada 20,000 rakyat yang memerlukan bantuan dengan peruntukan RM2 juta turut dilaksanakan serta bantuan sebanyak RM8 juta untuk ‘Program Gerobok Makanan’ yang memanfaatkan hampir 100,000 rakyat terkesan.

“Sebagai tambahan, sebanyak 100,000 baucar KFC bernilai RM20 juga diberikan kepada golongan yang terkesan seperti mahasiswa, anak-anak yatim piatu, warga emas dan lain-lain  yang diselaraskan Johor Corporation (JCorp).

“Di bawah inisiatif ke-13 dalam sektor masyarakat dan modal insan ini juga, kita membantu pelajar di sekolah rendah dan menengah yang mengikuti program pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) melalui pemberian ‘Bantuan Sumbangan Peranti’ kepada sekolah seluruh Johor,” katanya.

Ujar beliau, peranti itu akan dijadikan sebagai aset sekolah dan kemudahan berkenaan dipinjamkan kepada seramai 8,000 pelajar kurang berkemampuan.

Sementara itu, elaun khas sebanyak RM50 sehari diberikan kepada setiap penggerak Southern Volunteers (SV) sebagai menggalakkan peranan hampir 400 penggerak membantu petugas barisan hadapan menjayakan pendaftaran vaksin di seluruh Johor. 

“Kerajaan negeri turut melaksanakan pemberian bantuan sebanyak RM500,000 kepada persatuan dan penggiat seni di negeri Johor. Sebanyak RM1,000 akan diberi kepada 11 Badan Gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor manakala RM1,000 kepada 10 Majlis Kebudayaan Daerah dan RM500 kepada 958 penggiat seni yang terkesan.

Tambah beliau, bagi tunjang pemerkasaan pengurusan pandemik, pihaknya memperuntukkan RM75 juta untuk melaksanakan empat inisiatif yang digariskan iaitu membeli 190,000 unit test kit RTK-Antigen bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar selain Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan membeli test kit bagi memanfaatkan hampir 60,000 orang.

“Kita juga dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk membeli vaksin Covid-19 bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan bekalan vaksin, selain terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan frontliners,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya