NEW DELHI: Kerajaan India menyenaraikan varian koronavirus baharu dikenali sebagai Delta Plus sebagai varian membimbangkan (VOC) selepas puluhan kes dikesan di seluruh negara itu.
Lapor Al Jazeera, Kementerian Kesihatan India memaklumkan varian AY.1 yang pertama kali ditemui di Eropah, turut dikesan dalam sekurang-kurangnya 22 kes di negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh.
Jelas kementerian, varian Delta Plus menunjukkan peningkatan dalam tahap penularan.
Justeru, kementerian menasihatkan tiga negeri tersebut untuk meningkatkan ujian saringan yang dilakukan.
“Berdasarkan penemuan panel penasihat, Indian SARS-CoV-2 Genetics Consortium (INSACOG), kami sudah memberi amaran dan menasihati pihak berkuasa di tiga negeri mengenai varian Delta Plus yang dikesan,” jelas kementerian menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan, pegawai kesihatan di India telah mengenal pasti tiga ciri varian Delta Plus.
“Ciri varian itu membabitkan peningkatan penularan, melekat lebih kuat kepada reseptor sel paru-paru dan mengurangkan potensi tindak balas antibodi,” katanya.
Beberapa pakar kesihatan juga memberi amaran bahawa varian Delta Plus yang dikesan ketika ini mampu mencetuskan gelombang pandemik Covid-19 ketiga di negara itu. – AGENSI