SEVILLE: Keinginan Belgium untuk menggenggam Piala Euro 2020 sukar dicapai berikutan pasukan itu akan berdepan dengan juara bertahan, Portugal dalam perlawanan pertama mereka di peringkat kalah mati.
Pasukan itu juga akan berdepan tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo di Stadium La Cartuja, Seville, Sepanyol Isnin ini bagi menempah slot di peringkat suku akhir nanti.
Belgium sebagai pasukan nombor satu dunia setakat ini belum pernah menjuarai kejohanan besar, pencapaian tertingginya adalah menduduki tempat kedua pada Euro 1980 dan ketiga di Piala Dunia 2018.
Skuad The Red Devils mara ke peringkat kalah mati menerusi penampilannya dalam lima kejohanan utama sebelum ini dan hanya berjaya sampai ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.
Kekalahannya dengan Perancis tiga tahun lalu merupakan kegagalan ke-10 mereka ketika memburu kejuaraan kejohanan besar.
Namun, bagi pasukan itu tiada yang mustahil apabila memiliki barisan pemain tumpuan seperti Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Youri Tielemans dan Thibaut Courtois, justeru pertahanan veteran Belgium, Toby Alderweireld yakin pasukannya berpeluang menang.
Alderweireld memaklumkan beliau yakin dengan barisan pemain cemerlang akan memastikan kemenangan Belgium dalam kejohanan kali ini.
“Saya mahu melihat perbezaannya. Saya tak boleh cakap sekarang apa yang mereka fikir dan rasa, cuma saya boleh beritahu kami sangat ‘lapar’.
“Keinginan itu sukar dicapai bagi negara dan pasukan, jadi akan lakukan segala-galanya di tangan kami untuk untuk menewaskan mereka,” katanya Alderweireld.
Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos bangga dengan anak buahnya yang mampu mempertahankan kejuaraan apabila seri menentang Perancis di Budapest.
“Sekarang kena fikir tentang Belgium, mereka adalah lawan yang kuat. Kalau lihat pada kedudukan, mereka nombor satu. Tetapi biar kami menilai dan melihat apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan ini.
“Bukanlah satu kelebihan apabila mempunyai waktu rehat yang sedikit. Rehat itu sangat penting, mereka perlu waktu untuk pulih supaya dapat bermain dengan bertenaga. Kami tak boleh berlawan dengan keadaan ‘tempang’.
“Kami bersedia untuk perlawanan dengan meledak gol untuk mara,” katanya. – AGENSI