Chiesa, Pessina bantu Itali menang - Utusan Malaysia

Chiesa, Pessina bantu Itali menang

MATTEO Pessina berjaya meledak gol kedua buat Itali dalam aksi berdepan Austria di Stadium Wembley.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON : Kemasukan dua pemain gantian Itali, Federico Chiesa dan Matteo Pessina nyata membawa tuah apabila masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu skuad Azzurri melakar kemenangan 2-1 ke atas Austria pada peringkat kalah mati Euro 2020, sebentar tadi.

Keputusan itu juga membantu Itali melebarkan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan sekali gus mengatasi pencapaian yang dilakukan pasukan bimbingan Vittorio Pozzo antara 1935 hingga 1939.

Itali terpaksa menunggu pada minit ke-95 untuk memecah kebuntuan gol di Stadium Wembley menerusi ledakan Chiesa yang bijak memanfaatkan umpanan Leonardo Spinazzola.

Sepuluh minit kemudian, giliran Pessina mengukuhkan kedudukan Itali bagi mendahului Austria menerusi rembatan deras kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol lawan, Daniel Bachmann buat kali kedua.

Bagaimanapun, Austria bangkit merapatkan kedudukan hasil tandukan penyerang gantian, Sasa Kalajdzic pada minit ke-114.

Skuad kendalian Roberto Mancini kelihatan bergelut untuk membolosi benteng pertahanan lawan yang diketuai pertahanan Real Madrid, David Alaba dalam tempoh 90 minit masa perlawanan sebenar.

Turun sebagai pasukan pilihan, Itali hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-17 namun percubaan pemain tengah Nicolo Barella berjaya dinafikan Bachmann menggunakan kakinya.

Skuad Azzurri sekali lagi berpeluang mendahului namun kali ini palang pula menjadi penghalang apabila rembatan penyerang Ciro Immobile menyaksikan bola singgah di palang gol lawan meskipun Bachmann telah tertewas pada minit ke-32.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga babak pertama berakhir walaupun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang namun gagal untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Alaba berpeluang membuka tirai gol buat Austria menerusi sepakan bola mati namun percubaannya hanya sekadar melewati palang pada minit ke-52.

Itali turut berdepan detik mencemaskan pada minit ke-66 apabila penyerang Austria, Marko Arnautovic berjaya melakukan tandukan gol namun jaringan itu dibatalkan selepas dia dikesan berada dikedudukan ofsaid menerusi Video bantuan pengadil (VAR).

Kemenangan itu menyaksikan Itali melangkah ke suku akhir dan lawan menanti mereka adalah diantara Belgium atau Portugal yang akan turun bertarung awal pagi esok. – AGENSI

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya