Cemerlang STAM, hafaz 30 juzuk al-Quran - Utusan Malaysia

Cemerlang STAM, hafaz 30 juzuk al-Quran

MUHAMMAD Hanzalah Md. Yusoff berkongsi kegembiraan apabila mencatat keputusan cemerlang dalam STAM 2020 bersama ibunya, Roslina Abdullah di Seri Manjung. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tekad untuk membuktikan penghafaz al-Quran boleh cemerlang dalam akademik menjadi antara faktor kejayaan Muhammad Hanzalah Md. Yusoff meraih keputusan mumtaz atau cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Penghafaz 30 juzuk al-Quran berusia 19 tahun itu memperoleh sembilan mumtaz dan satu jayyid jiddan atau sangat baik dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil.

Pelajar Terbaik STAM 2020 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Mizan, Manong, dekat Kuala Kangsar itu memasuki Tahfiz al-Ridzuan, Manong, selama tiga tahun iaitu pada usia 13 hingga 15 tahun untuk menghafaz al-Quran.

Beliau tidak dapat melanjutkan pengajian tingkatan empat dan lima di sekolah menengah kerajaan kerana tidak mengambil PT3 lalu belajar di sekolah swasta At-Taalim, Lekir dekat sini, dan memperoleh 7A, 1B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum bersekolah di SABK Al-Mizan untuk mengambil STAM.

“Selalunya persepsi masyarakat bekas pelajar tahfiz tidak boleh pergi jauh dalam akademik jadi saya berazam mahu membuktikan al-hafiz juga boleh berjaya (dalam ilmu dunia).

“Malah kemampuan menghafaz al-Quran banyak membantu mengulang kaji pelajaran kerana dalam STAM banyak mata pelajaran yang memerlukan hafalan,” katanya kepada pemberita di Seri Manjung dekat sini.

Anak kepada pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Md Yusoff Omar, 54, dan suri rumah, Roslina Abdullah, 53, itu juga sering memohon doa kedua ibu bapanya setiap kali menghadapi peperiksaan.

Selain itu, antara resepi kejayaan anak keenam daripada lapan beradik itu ialah sering belajar berkumpulan melalui konsep mengajar dan belajar daripada rakan-rakan dengan sering membantu rakan yang lemah dan mengulang kaji sebelum waktu subuh.

Pada masa sama jelasnya, sentiasa menjaga hubungan dengan Allah iaitu sering solat berjemaah dan berpuasa sunat beramai-ramai di asrama, sentiasa melakukan solat sunat serta menjaga adab terutama ketika berinteraksi dengan keluarga, guru dan mereka yang lebih dewasa.

“Usaha gigih guru dan sokongan serta doa ibu bapa banyak membantu. Ketika di sekolah, saya dan 22 pelajar STAM lain pernah belajar seawal pukul 5 pagi dan ada masanya kami mengulang kaji sehingga 12 tengah malam.

“Ketika proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula saya akui ada rasa tertekan kerana pernah dalam satu bulan tidak dapat buat PdPR, jadi saya dan rakan-rakan sering berinteraksi sesama sendiri untuk memudahkan ulang kaji,” katanya.

Muhammad Hanzalah berhasrat melanjutkan pengajian syariah di Universiti al-Azhar di Mesir bagi memenuhi cita-citanya menjadi pensyarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN