Cemburu? Isteri saya pengkritik utama - Hisyam Hamid - Utusan Malaysia

Cemburu? Isteri saya pengkritik utama – Hisyam Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon Hisyam Hamid, 35, mendedahkan isterinya, Rosmawati Hanafi, bukanlah seorang wanita yang mudah berasa cemburu meski sedar sebagai pelakon, dia sering sahaja digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita.

Menurut pelakon kelahiran Singapura ini, dia bersyukur dikurniakan isteri yang begitu memahami dan ia memudahkan urusannya untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang seni di negara ini.

“Sebagaimana saya, isteri juga amat profesional dalam bab ini dan kerana itulah saya masih berada di sini. Diam tak diam, sudah tahun ketujuh saya bekerja di sini, seorang diri pula itu kerana keluarga semua berada di Singapura.

“Dia tidak mudah cemburu dan tahu lakonan ada punca rezeki saya dan keluarga. Dia juga adalah pengkritik utama, lebih-lebih lagi kalau nampak saya berlakon nampak kekok dengan mana-mana pelakon wanita.

“Dia yang akan beritahu supaya saya perbaiki lagi lakonan,”katanya dalam satu sidang media secara virtual bagi mempromosikan drama berjudul Hatimu Sedingin Salju, kelmarin.

Selain itu kata Hisyam, dia dan isteri sentiasa meletakkan kepercayaan sebagai suami dan isteri. Malah, sebagai pelakon dirinya juga masih tahu batas apa lagi jika perlu bergandingan dengan pelakon wanita yang sudah bertunang dan berkahwin.

Kata Hisyam, dia tidak mahu menimbulkan masalah dengan mana-mana pihak dan kerana itu, sebolehnya dia akan cuba membina hubungan yang baik dengan pasangan pelakon wanitanya.

“Memang saya sendiri akan lakukan inisiatif untuk kenali dan bina hubungan baik dengan tunang atau suami pelakon wanita yang bergandingan dengan saya dalam drama. Saya selesa buat kawan dengan mereka agar tidak timbul salah faham tertentu.

“Tiada niat lain, cuma untuk memudahkan urusan kerja kerana kita semua tahu, adakala orang boleh salah faham dengan kita sebagai pelakon ini,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun ramai sedia maklum dirinya sudah berkahwin dan punya anak-anak, Hisyam tidak menolak masih menerima mesej-mesej nakal daripada peminat yang cuba mengusik dan mengurat.

Bagaimanapun, Hisyam bersyukur setakat ini mampu menepis godaan-godaan tersebut dan sumber kekuatan tentulah isteri dan anak-anaknya.

“Jangan dilayan perkara-perkara macam itu. Kalau ada yang mesej nakal pun saya akan terus padam dan tak layan sebab saya tahu isteri dan anak-anak menunggu saya di rumah.

“Tapi takut juga nak cakap pasal hal ini ya. Bukan apa, takut Allah SWT nak uji. Tapi kalau boleh elak memang saya akan elak,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN