PASIR GUDANG: Seorang pemandu kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbenam ke dalam sebuah lubang akibat mendapan jalan ketika melalui Jalan Lampam, Tanjung Puteri Resort di sini.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8 pagi tadi.
Insiden itu turut mengakibatkan kawasan Kampung Pasir Putih di sini terputus bekalan air selama kira-kira empat jam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd. kini berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dengan segera.
“MBPG telah meminta SAJ membaiki kembali paip serta membuat turapan di laluan berkenaan. Hal ini kerana laluan itu merupakan laluan utama yang menghubungkan beberapa kawasan di Pasir Gudang.
“Selain itu, kita turut meminta bantuan syarikat konsesi untuk sentiasa bersedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan sekiranya diperlukan,” katanya di sini.
Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Tambah Asman Shah, kerja membaiki paip air yang pecah dijangka dapat disiapkan segera termasuk kerja penurapan jalan.