Cari bahagia atau bala? - Utusan Malaysia

Cari bahagia atau bala?

JANGAN mudah terperangkap dengan tipu daya melalui internet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEY! Where are you from?” – Biasa dapat mesej seperti ini daripada pemilik akaun media sosial dari luar negara, dalam Facebook atau Instagram? Saya rasa ramai terutamanya wanita yang mendapat sapaan ingin berkenalan seperti ini. Sama ada mahu layan atau tidak, itu yang membezakannya.

Saya agak ramai pun sudah tahu mesej seperti ini adalah antara pengenalan yang dilakukan oleh scammer.

Cerita dan berita mengenai penipuan scammer dan modus operandi mereka pun sudah terlalu banyak kali didedahkan dalam berita arus perdana dan media sosial. Kita sudah biasa baca tentang Love Scam dan Macau Scam.

Tetapi itulah, masih ramai wanita termasuk lelaki di negara ini yang terjerat dengan tipu daya rakyat dari luar negara ini.

Macam tak masuk akal, begitu senang menyerahkan duit yang sebegitu banyak walaupun tidak pernah berjumpa dan berkenalan dalam tempoh yang singkat. Saya rasa kalau adik beradik atau kawan-kawan ingin meminjam duit sebanyak itu, jangan haraplah! Mesti memanjang kata tiada duit.

Mungkin kerana kesu­nyian dan terdesak, ada yang bertindak berani untuk mencuba. Mana tahu itu jodoh! Bukan scammer. Mere­ka mungkin memikirkan baha­wa berkawan atau ber­cin­ta dengan rakyat tem­patan pun selalu kena tipu juga.

Hakikatnya yang kita harus tahu, bercinta di alam nyata pun, ramai yang menipu, inikan pula di alam maya. Bukankah begitu?

Dan sementelahan pula, melihat orang yang ingin berkenalan itu segak dan tam­pan, seorang juruterbang yang bergambar dalam kok­pit, seorang doktor atau ahli perniagaan yang mema­parkan kehidupan mewah dalam akaun media sosial atau wanita jelita yang seksi, ma­ka ada yang mudah ter­pedaya.

Yang pastinya mereka ini menggunakan gambar orang lain atau selebriti yang mungkin kita tidak kenal di luar negara.

Saya juga pernah mene­rima mesej dari orang luar negara dalam media sosial, nama macam pemain bola sepak Manchester United tetapi menggunakan gambar ahli politik dan ada juga pelakon di negara ini! Agak-agaklah hendak menipu. Satu Malaysia kenal gambar yang digunakan itu. Saya padam saja mesej itu. Habis cerita.

Dan apabila sudah melayan dan ‘mabuk cinta’ membuatkan mereka tidak dapat berfikir secara waras. Tak pernah berjumpa, malah ada yang tak pernah bertelefon atau membuat panggilan video, dengan mudah menyerahkan wang yang sampai mencecah hampir RM1 juta!

Itu yang berlaku kepada seorang kerani wanita di Pulau Pinang, berusia 58 tahun yang lesap duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai hampir RM1 juta baru-baru ini akibat ditipu oleh lelaki sindiket Love Scam dari Amerika Syarikat (AS) yang dikenalinya dalam Instagram.

Sebelum itu, seorang lelaki penoreh getah di Negeri Sembilan pula menyerahkan wang simpanan bernilai hampir RM100,000 kononnya untuk membantu perniagaan kekasihnya itu yang juga dikenali melalui media sosial. Tidak pernah berhubung melalui telefon apatah lagi berjumpa, senang-senang saja duit itu diserahkan atas nama cinta.

Terdahulu, di Pulau Pinang juga, seorang ahli perniagaan wanita rugi RM74,000 diperdaya oleh kenalan Facebooknya dari AS. Dia mula menyedari ditipu, setelah melihat gambar profil kenalannya itu turut digunakan dalam Facebook orang lain.

Seorang kawan membe­ritahu saya, orang ramai tidak terkejut sangat bila masih ada lagi wanita atau lelaki yang terjebak dengan Love Scam walaupun telah berkali-kali berita penipuan itu bagaikan di ulang tayang. Yang mereka terkejut sebenarnya, banyaknya duit simpanan mangsa!

“Penoreh getah pun boleh ada simpanan RM100,000. Moh ler kita jadi penoreh getah. Yang kerani pun ada simpanan hampir RM1 juta. Macam mana dia boleh simpan duit banyak itu?,” guraunya.

Katanya lagi, mungkin mangsa-mangsa ini terpe­ngaruh dengan artis atau selebriti di negara ini yang hidup berbahagia berkahwin dengan warga asing.

Dan mungkin juga ada antara kawan-kawan mereka yang berkahwin dengan warga asing dan hidup senang di negara luar itu bersama suaminya.

Apa pun, pada saya ada beza antara mencari bahagia dan bala. Semoga tiada lagi kes wang yang dibazirkan dengan tak tentu pasal.

Penulis ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya