KUANTAN: Semua pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada bulan depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pelajar terbabit akan menerima vaksin jenis Pfizer.
“Kita akan cuba selesaikan dos pertama pada Julai ini membabitkan pelajar SPM 2021.
“Suntikan akan dibuat di sekolah masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak PICK Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini semalam.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata, cadangan agar pelajar yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksinasi telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Radzi berkata, ini berikutan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan berusia 12 tahun ke atas.
Dalam pada itu Khairy berkata, kerajaan akan menyusun semula jadual pengagihan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri-negeri yang berisiko banjir diberi keutamaan.
Menurutnya, diharapkan proses pengagihan dapat diselesaikan sebelum Oktober ini.
Katanya, ia penting bagi memastikan proses pengagihan vaksin lancar dan penduduk khususnya di kawasan berisiko banjir menerima suntikan.
“Kita harapkan akan dapat selesaikannya (pengagihan vaksin sebelum musim tengkujuh).
“Jika tidak, kita akan lihat apa strategi yang boleh dilaksanakan untuk pemberian vaksin pada musim tengkujuh,” katanya.