Cadangan tutup kilang dangkal - Utusan Malaysia

Cadangan tutup kilang dangkal

SEKTOR kilang masih dibuka biarpun banyak kluster Covid-19 terdiri daripada sektor itu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional menganggap tindakan pihak tertentu mendesak penutupan sektor ekonomi khususnya bidang pembuatan kerana cadangan itu amat dangkal dan mendatangkan kesan negatif kepada kemakmuran rakyat serta negara.

Pengerusi Biro Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Armada Nasional, Mohd. Firdaus Yusoff berkata, pandangan tersebut yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin politik itu juga merupakan langkah terbelakang.

“Andaian bahawa sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar kepada kes positif Covid-19 adalah tidak tepat. Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, hanya sembilan peratus kes positif Covid-19 dicatatkan pada Jun berpunca daripada sektor pembuatan atau perkilangan.

“Ini bermakna, penyumbang terbesar kes Covid-19 pada masa ini adalah kes sporadik seperti dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Kes sporadik kini merupakan ancaman terbesar rakyat dengan rekod sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan jumlah kes sejak Januari lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketika ini beberapa pihak termasuk di media sosial mendesak supaya kilang-kilang ditutup kerana dikatakan terus mencetuskan kluster yang menyumbang peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan perkara itu dengan mendakwa, kes positif Covid-19 melibatkan sektor tersebut hanya pada kadar lima hingga 10 peratus.

Mengulas lanjut Mohd. Firdaus berkata, langkah untuk menutup sektor pembuatan dan perkilangan hanya akan menggugat rantaian ekonomi negara termasuk eksport dan perdagangan.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu insentif khusus kepada sektor ekonomi lain agar dapat kembali beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sekiranya pekerja dan pelanggan telah mendapat suntikan vaksin.

“Cadangan ini diharap dapat membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya