SEREMBAN: “Bukan masa yang sesuai untuk Pakatan Harapan (PH) membincangkan mengenai isu logo bagi blok parti tersebut menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).”
Demikian ditegaskan Ahli Jawatankuasa Majlis Presiden PH, Loke Siew Fook yang berpendapat, fokus ketika ini perlu diletakkan sepenuhnya ke arah membantu rakyat dalam tempoh yang mencabar.
Jelas Setiausaha Organisasi DAP itu, soal strategi pilihan raya dan logo apa yang paling ‘winnable’ adalah boleh dikemudiankan.
“Isu ini sebenarnya telah dibincang dan dibahaskan secara panjang lebar dalam retreat PH di Port Dickson pada April lalu. Semua pihak dalam PH tahu pendirian masing-masing dan semua parti komponen sudah capai ‘general understanding’ dalam perkara ini.
“Apabila tiba masanya, Majlis Presiden PH akan buat keputusan bersama. Tak perlulah mana-mana pihak mengungkit perkara ini secara terbuka dan bertelagah sesama sendiri, ia tidak akan ke mana-mana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Seremban itu mengulas cadangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional, Akmal Nasrullah Md. Nasir semasa Kongres PKR agar PH menggunakan logo parti itu dalam PRU-15.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, usul tersebut dibuat bagi menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada PH.
Sementara itu, jelas Siew Fook, pemimpin PH perlu memainkan peranan supaya setiap rakyat mendapat vaksin dalam kadar yang segera.
“Bagi tekanan kepada kerajaan supaya kadar vaksinasi dipertingkatkan setiap hari. Pastikan lebih banyak PPV dibuka, bantu rakyat yang menghadapi masalah pengangkutan untuk pergi ke PPV.
“Keduanya, ramai rakyat yang susah, ramai yang hilang punca pendapatan dan kekurangan makanan di rumah. Sebagai pemimpin politik dan wakil rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebajikan rakyat dan pastikan tiada yang kebuluran di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, pemimpin politik dan wakil rakyat PH, perlu fokuskan tenaga dan semangat kerjasama untuk pastikan darurat ditamatkan segera dan Parlimen bersidang semula.
“Sudah nampak ada ‘cahaya di hujung terowong’. Kita kena bersatu padu dalam bab ini untuk menghidupkan semula demokrasi di Malaysia.
“Saya rasa inilah beberapa perkara yang rata-rata rakyat Malaysia inginkan daripada kita sekarang. Soal strategi pilihan raya dan logo apa boleh dikemudiankan, sampai masanya, kita akan bertarung habis-habisan untuk mengembalikan mandat rakyat untuk PH,” katanya.