KEPALA BATAS: Seramai tujuh lelaki ditahan polis selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika melepak berdekatan sebuah gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, Penaga, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu berusia antara 24 hingga 57 tahun.
Menurut beliau, siasatan mendapati mereka menjadikan lokasi di bawah pokok itu sebagai tempat untuk minum air ketum selain melakukan kesalahan tidak memakai penutup muka.
“Pemeriksaan pada motosikal milik salah seorang daripada mereka turut menemukan dua bungkus plastik mengandungi air ketum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut selain masing-masing dikompaun RM1,500 kerana melanggar SOP PKP.
Semalam, video berdurasi 23 saat yang memaparkan sebuah trak polis membawa individu yang didakwa ditahan kerana bermain futsal dengan beberapa buah motosikal lain dilihat turut mengekori kenderaan tersebut tular di dalam media sosial.
Menurut Noorzainy, motosikal milik individu yang ditahan itu ditunggang oleh anggota polis ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. – UTUSAN ONLINE