Bot aktiviti menyelam diubah suai angkut rokok seludup - Utusan Malaysia

Bot aktiviti menyelam diubah suai angkut rokok seludup

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sektor pelancongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mendorong pengusaha menukar ‘bidang perniagaan’ daripada aktiviti rekreasi di laut kepada sindiket penyeludupan rokok.

Mereka mengubah suai  bot persiaran bagi mengangkut bekalan itu.

Bagaimanapun, tindakan itu menjadi sia-sia selepas polis mematahkan kegiatan tersebut setelah merampas rokok, bot persiaran terbabit dan lori dengan nilai keseluruhan mencecah RM9.3 juta dalam operasi di jeti kawasan Endau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,  tiga suspek lelaki termasuk pemilik bot berusia 27 tahun hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan yang digerakkan sepasukan polis daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing dan Tampoi serta dibantu Balai Polis Endau.

Menurut beliau, bot persiaran pelancongan itu digunakan membawa pelancong bagi aktiviti menyelam sebelum Covid-19 melanda, namun ia diubah suai supaya dapat memuatkan rokok-rokok seludup terbabit.

“Modus operandi adalah menggunakan bot persiaran ini ke sebuah kapal besar yang berada di perairan antarabangsa untuk membuat pemindahan dan membawa masuk barang seludup.

“Mereka melakukan aktiviti menyeludup rokok dari Vietnam dan ke Batam, Indonesia untuk membuat aktiviti sama sebelum balik semula ke sini untuk diagihkan di kawasan perairan Malaysia terutama di Pantai Timur.

“Suspek yang kita tangkap ini dahulunya mereka terlibat dalam aktiviti pelancongan tetapi disebabkan Covid-19, mereka ubah suai bahagian bot untuk menyeludup kontraban. Mengikut siasatan awal, mereka lakukannya sejak PKP tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam operasi bermula pukul 6.30 petang itu, polis merampas dua buah lori, sebuah bot persiaran, 380 kotak rokok Rand Bold, 523 kotak rokok jenama Vstar, satu unit GPS jenis Garmin GPSMAP 585, satu unit radar jenis Furuno Fish Finder FCV-627 dan satu unit radar jenis lowrance HDS 7.

Salah seorang daripada suspek yang ditahan turut memiliki rekod jenayah lampau dan mereka kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

Tambah Ayob Khan, pihaknya percaya ketiga-tiga suspek terlibat dalam sindiket lebih besar yang tidak terbatas di negeri ini sebaliknya memiliki rangkaian sehingga ke Pahang atau negeri-negeri pantai timur lain.

“Ketika mengangkut bekalan dengan lori pula, mereka meletakkan barangan lain di belakang kenderaan berat itu seperti air mineral bagi mengaburi mata pihak berkuasa manakala sebahagian kapasiti lori itu dimuatkan dengan rokok seludup untuk diagihkan ke lokasi-lokasi tertentu.

“Polis meneruskan siasatan bagi mengesan dalang sindiket ini supaya kita dapat membanteras kegiatan penyeludupan barangan kontraban terutamanya rokok,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya