Dalam usaha mengukir nama dalam industri seni, Suehaila telah melancarkan single pertamanya berjudul Sad Blue Eyes yang boleh didengari di platform Spotify.
Pemilik nama Tengku Suhaila Tengku Asmadi itu akui memang tidak mudah untuk membina nama terutamanya bagi yang baharu sahaja menapak dalam industri ini.
“Kalau boleh, saya ingin menjadikan minat dan bakat itu sebagai karier yang boleh meraih pendapatan.
“Namun jika ia tidak dapat dicapai, bagi saya, selagi boleh berkongsi dan menghasilkan karya, ia juga sudah merupakan satu pencapaian,” katanya kepada Pancaindera.
Mempunyai minat dalam bidang seni sejak di bangku sekolah, tidak sukar untuk anak kelahiran Brisbane, Australia itu untuk membuat persembahan di khalayak ramai kerana keyakinan diri sudah dibina seawal usia kira-kira 10 tahun.
Sejak 2019, Suehaila sudah mula aktif dalam melakukan persembahan di acara muzik seperti, RIUH! dan Merdekarya.
“Kebanyakan lagu yang saya nyanyikan secara live merupakan lagu ciptaan sendiri namun belum dikeluarkan secara rasmi.
“Saya merupakan artis berdikari, jadi tiada sokongan kewangan daripada label rakaman. Semuanya harus diusahakan sendiri jadi agak mengambil masa untuk mengeluarkan lagu baharu,” jelas wanita berusia 29 tahun itu.
Katanya, setakat ini, dia hanya mempunyai sebuah lagu ciptaannya yang dalam bahasa Melayu bertajuk Usah Kau Pergi.
Apabila ditanya mengenai inspirasi, Suehaila menjelaskan lagu-lagunya dihasilkan berdasarkan pengalamannya sendiri dan ada juga pengalaman orang lain.
“Lagu-lagu saya terbuka kepada tafsiran orang ramai. Tidak semestinya kisah cinta sahaja.
“Sebagai contoh, lagu Usah Kau Pergi itu terhasil daripada perasaan rindu dan sedih terhadap arwah nenek yang sedang sakit dan berjauhan dengan kami sekeluarga kerana kami berada di Kuala Lumpur (KL) dan arwah menetap di Ipoh, Perak,” katanya yang dibesarkan di Perak dan kini menetap di KL.
Graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional itu mengidolakan Najwa Mahiaddin atau NJWA kerana gayanya menyampaikan sesebuah lagu mampu memberi impak kepada pendengar sehingga meremang bulu roma.
“Saya ingin menambah baik kemahiran diri dan menjadi lebih baik dalam bidang ini kerana banyak lagi yang perlu dipelajari.
“Semoga saya diberi peluang untuk berkongsi lebih banyak lagi karya dan berkolaborasi dengan artis yang tidak dikenali ramai,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Pada masa akan datang Suehaila merancang untuk mengeluarkan lagu berjudul Sunday Kinda Monday dan muzik videonya namun bergantung kepada keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19.