Ini sebuah kisah antara dua darjat. Iya, macam judul filem P. Ramlee itu. Sebuah cerita tentang pengertian kesusahan dan kemuliaan hati di antara golongan kaya dan tidak berada.
Seorang teman pemandu Grab yang saya panggil J mengadu betapa bezanya sikap dua golongan ini dalam memberikan tips kepada penghantar makanan.
Tak, bukan bermaksud dia prejudis atau bersangka buruk. Tapi J bercerita daripada pengalamannya menjadi pemandu Grab sejak dua tahun lalu.
“Aku dapat pesanan hantar makanan ke kawasan perumahan mewah yang setiap rumah macam istana, terletak atas bukit.
“Pelanggan bergelar Datuk. Aku google namanya dan mendapati dia adik seorang menteri. Lepas hantar makanan, langsung tak ada tips.
“Kemudian hantar lagi makanan sekitar Mont Kiara. Rumah ada kereta Porsche, Rolls Royce segala, tapi tips pun kosong.
“Baru tadi aku dapat pesanan area Mont Kiara juga. Seorang makcik yang asal dari Sandakan, Sabah dan bekerja sebagai pengawal keselamatan,” cerita J.
Tambah J, usia makcik tersebut dianggarkan dalam 60-an. Pesanan makanannya pula berjumlah RM11 saja.
“Tapi kau tahu dia beri tips pada aku berapa? RM35.
“Katanya dia sedekah ikhlas pada aku. Makcik ini bagi sebiji buah mangga lagi. Aku tolak mulanya tapi dia bersungguh meminta aku ambil.
“Aku betul-betul rasa terharu sampai aku doakan dia dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia.
“Sebak hati aku bila mengenangkan bezanya layanan orang kaya dengan orang biasa-biasa pada aku hari ini.
“Kau bayangkan, hari ni saja orang bagi tips pada aku dah RM50, semuanya orang biasa-biasa yang bagi. Dapat jugalah tips dari orang kaya tapi RM4 saja,” kata J sambil tertawa.
Justeru, kata J, di sini sahaja jelas boleh nampak siapa lagi baik hati di antara kedua-duanya.
“Apapun jangan pula kata kerja kena ikhlas dan tak perlu berharap tips, Alahai tips ni perkara biasa bagi bidang perkhidmatan termasuk Grab sendiri.
“Kalau masuk hotel pun kita bagi tips pada pekerja yang bawa beg kita, pergi fine dining pun sama, siap ada kotak tips lagi.
“Malah Grab pun ada menghantar mesej kepada pelanggan untuk memberikan tips jika kita berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi. Ini perkara biasa,” kata J.
Namun apa yang ingin ditekankan oleh J adalah dia melalui pengalaman berbeza ketika menyediakan perkhidmatan untuk orang kaya dan orang biasa-biasa.
“Kita pun taklah minta tips kalau tak dapat. Cuma yang aku alami, orang biasa-biasa bagi tips manakala orang kaya, jarang benar dapat tips. Itu saja,” kata J.
Mendengar cerita J, tertanya-tanya juga saya, adakah pandangan orang kaya pada penghantar makanan berbeza dengan pandangan orang biasa-biasa?
Barangkali juga ketika ini, yang mengerti dan merasai kesusahan satu-satu kelompok adalah daripada kelompok yang sama sahaja.