KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Bunga Cinta Lestari mengakui tertekan sepanjang menjalani tempoh kuarantin apatah lagi terpaksa berpisah seketika dengan anak kesayangannya, Noah.
Berkongsi luahan hati di Instagram, Bunga berkata, walaupun menjalani kuarantin bersama empat temannya setelah positif Covid-19 minggu lalu, namun dia tetap tertekan dan terkesan dengan situasi tersebut.
“Saya mahu berkongsi sedikit perasaan. Bukan sahaja hadir dengan simptom dan gejala, Covid-19 juga membuatkan mental saya tertekan. Walaupun saya di sini menjalani kuarantin bersama empat sahabat, sometimes, I still feel low.
“Sepanjang kuarantin, perkara terberat yang saya rasakan adalah harus berpisah dengan Noah. Terpaksa menyusahkan orang lain untuk mengurus Noah. Itu tidak mudah sama sekali untuk saya. Syukur keluarga banyak membantu saya,” katanya.
Dalam pada itu, Bunga mendedahkan, dia kerap kali sesak nafas dan sudah mula kehilangan deria rasa. Malah, ditambah dengan faktor-faktor lain yang tidak boleh dikawal, dia merasakan semakin berat namun masih cuba berusaha untuk tersenyum dan menerima.
“Buat teman-teman yang ketika ini juga sedang berjuang melawan Covid-19, saya doakan (kita semua) selalu diberikan kekuatan, kesabaran, semangat dan harapan. Sending loves and prayers to each of you.. Yes, we can do this,” katanya.