Beroperasi tanpa kebenaran, kilang papan dikompaun RM10,000 - Utusan Malaysia

Beroperasi tanpa kebenaran, kilang papan dikompaun RM10,000

MOHD. Khaizam Ahmad Shahabudin (tengah) menjalankan siasatan kilang kayu yang beroperasi tanpa kebenaran ketika pelaksanaan sekatan penuh sektor sosial dan ekonomi di Salak Baru, Sungai Siput. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Sebuah kilang papan di Salak Baru di sini dikompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu beroperasi tanpa kebenaran.

Serbuan dijalankan pada pukul 9 malam tadi di premis yang juga telah diarah tutup oleh pihak bomba sejak Mei lalu kerana gagal mematuhi notis menghapuskan bahaya kebakaran.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, ketika serbuan, kira-kira 20 pekerja berada di dalam kilang tersebut namun masing-masing bertempiaran lari sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun katanya, lapan lelaki warga asing berusia 20 hingga 50 tahun berjaya ditahan.

“Siasatan mendapati, kilang tersebut beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh PKP 3.0 selain mempunyai notis arah tutup oleh pihak bomba.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, premis itu akan memulakan operasi bermula pukul 6 petang hingga 10 malam di mana kira-kira 16 ke 20 pekerja bertugas pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini semalam.

Menurut Mohd. Khaizam, bagi memastikan aktiviti mereka tidak dikesan, premis itu menutup pintu utama dan menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk masuk ke lokasi serbuan menerusi kilang lain.

Katanya, berdasarkan siasatan, pemilik premis memberi alasan terpaksa meneruskan operasi bagi menyelesaikan kayu-kayu yang tinggal untuk mengelakkan kerosakan.

“Tindakan ke atas premis itu dijalankan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Bagi pekerja warga asing itu pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Tambah beliau, pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya