KUBANG PASU: Seramai 14 individu termasuk seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun ditahan ketika leka bermain mahjong di sebuah rumah di Taman Resak, Changlun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, polis melakukan serbuan di rumah tersebut yang dipercayai dijadikan markas perjudian semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pukul 5 petang.
Menurutnya, rumah tersebut dilindungi pagar zink serta tembok batu bagi mengaburi pihak berkuasa dan dipercayai milik salah seorang daripada individu yang ditahan.
Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 73 tahun terdiri daripada 10 lelaki dan empat perempuan termasuk seorang warganegara Myanmar.
“Ada di antara warga emas yang ditahan itu mendakwa mereka menyertai aktiviti perjudian itu untuk menghilangkan bosan duduk di rumah semasa PKP ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, beliau memberitahu, polis turut merampas pelbagai barang disyaki digunakan untuk bermain mahjong, selain wang tunai dipertaruhkan.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke lokap Balai Polis Jitra dan direman selama dua hari.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2020,” katanya.