PUTRAJAYA: Semua pihak berkepentingan seharusnya memberi ruang dan masa kepada kerajaan yang sememangnya mahukan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Timbalan Presiden Pertubuhan Cendekiawan Negara, Prof. Kamarulnizam Abdullah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan sidang Parlimen itu diadakan secara selamat dan teratur, iaitu selamat dari segi kesihatan dan teratur dari segi menepati kehendak undang-undang dan peraturan.
Beliau berkata, ia seperti mana kerajaan-kerajaan negeri, termasuk di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang diberi ruang untuk menetapkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang jauh lebih kecil skalanya hanya pada Ogos ini.
“Ini bagi memastikan kepatuhan kepada kehendak undang-undang dan peraturan dipenuhi, berilah juga ruang sama kepada Kerajaan Pusat demi maslahat bersama.
“Kita kesal dengan hujahan yang sengaja diada-adakan sesetengah pihak sedangkan ia dibuat tanpa berdasarkan kepada fakta tetapi bertujuan mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus ke dalam krisis Perlembagaan semata-mata untuk memenuhi kepentingan sempit mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarulnizam berkata, reaksi Pejabat Perdana Menteri berhubung titah Yang di-Pertuan Agong harus dilihat sebagai tindakan proaktif dalam mengambil langkah-langkah susulan terhadap titah Seri Paduka.
Katanya, ia merupakan satu manifestasi kepada tanggungjawab besar yang dipikul peneraju tampuk pemerintahan negara, iaitu bagi memastikan kesemua prinsip Rukun Negara akan sentiasa kekal terpelihara pada setiap masa.
Beliau berkata, sistem Raja Berperlembagaan di bawah Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa fungsi Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Kabinet serta apabila dinasihati hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.
Bagaimanapun katanya, ada ahli akademik dan peguam yang berpendapat bahawa dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Seri Paduka tidak lagi terikat dengan nasihat.
“Kononnya termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen di mana ini dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka.
“Begitu juga dengan pendapat pelik bahawa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur-prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai ekoran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” katanya.
Beliau memberitahu, ada dihujahkan juga bahawa Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras dengannya bagi meniadakan kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.
Dalam hal itu katanya, tidak sewajarnya ahli akademik dan peguam yang terlatih di dalam bidang undang-undang boleh mengeluarkan pendapat sebegini, sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dahulu pun menyatakan Proklamasi Darurat akan memberi kuasa sewenang-wenangnya kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Selain fakta bahawa hujah-hujah begini tidak diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, telah dinyatakan Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Pertubuhan ini berpendapat walaupun dalam tempoh darurat ini Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, masih perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat, kerajaan tetap akan menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi bila titah pandangan Seri Paduka ini sebenarnya adalah selari dengan hasrat kerajaan,” katanya.