IPOH: Bergolok-bergadai demi kelangsung hidup untuk diri sendiri dan para pekerja. Itu yang dilalui pengusaha spa di negeri ini kerana tidak dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19.
Naib Pengerusi Persatuan Usahawan Spa Perak (SISPA), Harisun Kassim, 42 berkata, rata-rata pengusaha dan pekerja spa kini melalui saat sukar kerana tidak dibenarkan beroperasi sehingga ada yang sukar untuk terus bertahan.
Menurutnya, ini kerana walaupun tidak beroperasi, dia sebagai pengusaha tetap harus membayar sewa, utiliti dan gaji pekerja.
“Disebabkan tidak beroperasi, pemilik spa tidak mampu menampung kos perniagaan seperti upah pekerja yang tetap harus dibayar walaupun spa ditutup.
“Kerana tiada pelanggan, macam mana kami hendak membayar gaji pekerja, mereka pun ada tanggungan masing-masing,” katanya Utusan Malaysia di sini semalam.
Harisun yang mempunyai empat buah spa berkata, kini dia semakin bimbang memikirkan nasib 14 pekerjanya.
Menurutnya, kerana hilang pendapatan, ada pekerjanya yang terpaksa menggadaikan barang-barang berharga.
Katanya, dalam masa sama, pembelajaran dan latihan pelajar praktikal yang sedang menjalankan latihan industri juga terbantut dan melambatkan proses untuk mereka bekerja sebaik sahaja tamat latihan.
“Bukan itu sahaja, pelajar yang sedang belajar di pusat latihan kemahiran ini juga akan terjejas jika ingin masuk ke dunia pekerjaan industri spa,” katanya.
Menurutnya, majoriti penggiat industri spa adalah dalam kalangan wanita dan golongan B40 yang hanya mempunyai kemahiran bidang salon dan spa menyebabkan mereka sukar untuk bertukar bidang lain sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.
“Kini saya dalam dilema sama ada mahu menutup cawangan tetapi masih memikirkan nasib pekerja yang bergantung pekerjaan di spa ini.
“Bantuan subsidi dari kerajaan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) Perkeso juga lambat dan menyebabkan majikan terpaksa menanggung beban tambahan,” katanya.
Harisun berharap kerajaan menimbangkan keadaan mereka dengan membenarkan perniagaan spa beroperasi apatah lagi perkhidmatan itu mengamalkan penjagaan kebersihan yang tinggi.
“Sebelum Covid-19, perniagaan spa mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek penjagaan kebersihan, malah tiada wujud kluster bagi perkhidmatan spa.
“Jadi, saya percaya perniagaan perkhidmatan spa adalah selamat kerana mengamalkan SOP ketat,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja spa, Noraiza Jemali, 49, berkata, dia dan suami terpaksa bergolok-bergadai demi meneruskan kelangsungan hidup untuk membesarkan enam orang anak kerana tidak dapat bekerja.
“Punca pendapatan saya hanya di spa dan perkhidmatan mengurut. Jika keadaan berterusan, memang kami sekeluarga akan hilang punca pendapatan.
“Kami amat berharap spa boleh beroperasi pada fasa akan datang kerana ia merupakan punca pendapatan kami,” katanya.