AMSTERDAM: Pengendali Belanda, Frank de Boer mahu barisan pertahanan lebih kukuh menjelang aksi menentang Austria dalam aksi kedua kumpulan C di Johan Cruyff Arena, awal pagi esok.
Kedua-dua pasukan membuka kempen Euro 2020 dengan meraih kemenangan dan sudah pasti mahu meneruskan momentum itu bagi mencerahkan peluang melangkah ke peringkat kalah mati.
Kemenangan 3-1 Austria ke atas Macedonia Utara di Bucharest minggu lalu adalah yang pertama buat mereka di Kejohanan Eropah manakala Belanda menewaskan Ukraine 3-2 dalam penampilan semula pasukan di pentas saingan utama selepas tujuh tahun.
“Melepaskan dua gol seperti itu bukanlah sesuatu yang kamu mahukan tetapi kami perlu dominan dan itu yang kami mahukan,” katanya.
Dalam pada itu, Austria menyedari lawannya kali ini lebih kuat berbanding ketika berdepan Macedonia Utara dan jurulatihnya Franco Foda bakal melakukan rombakan kesebelasan utama.
Marko Arnautovic dan Michael Gregoritsch dijangka berada dalam kesebelasan utama selepas hanya berada di bangku simpanan sebelum ini.
“Kami masih perlu mengutip mata untuk layak ke pusingan 16 terbaik. Kemasukan mereka memberi semangat kepada pasukan.
“Marko sangat penting dalam pasukan dan bakal memainkan peranan penting apabila berdepan Belanda nanti,” ujarnya.- AGENSI