KUALA TERENGGANU: Bekas atlet para Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Nur Safra Abdul Halim, 30, memilih kerjaya sementara sebagai penghantar barang sejak setahun lalu bagi meneruskan kelangsungan hidupnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Walaupun pergerakannya terbatas kerana kecacatan pada kaki, namun Nur Safra tidak malu untuk melakukan pekerjaan itu, malah mampu meraih pendapatan sehingga RM500 sebulan.
Pemenang pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing itu berkata, antara barangan yang dihantar ialah keperluan dapur seperti ikan, ayam dan sayuran di samping susu dan pelbagai makanan lain.
Katanya, perkhidmatan penghantaran yang ditawarkannya berbeza berbanding individu lain kerana dia tidak menetapkan sebarang kadar bayaran, sebaliknya terpulang kepada upah seikhlas hati yang diberikan pelanggan.
“Sebelum ini saya mencari rezeki sebagai jurujual kereta tetapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pendapatan terjejas, jadi saya beralih kerjaya kepada penghantar barangan buat sementara.
“Saya bersyukur kerana ramai pelanggan yang tidak berkira dalam memberikan upah, malah mereka sering membayar lebih daripada jumlah sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Nur Safra, jumlah pelanggannya kini semakin bertambah selepas rata-ratanya berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan.
Katanya, kekurangan fizikalnya itu berpunca akibat kemalangan jalan raya pada 2010 yang menyebabkan tulang peha hancur dengan hampir tujuh tahun bergerak menggunakan kerusi roda.
“Sokongan keluarga, kawan-kawan dan rawatan fisioterapi yang dijalani membolehkan saya berjalan semula pada 2017.
“Peluang kedua yang diberikan Allah ini akan terus saya manfaatkan untuk perkara yang baik dan disumbangkan kembali kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya.
Nur Safra berkata, sebagai penghantar barang, antara cabaran yang terpaksa dilalui ialah sesat ke destinasi, pelanggan gagal dihubungi, berulang-alik ke banyak premis untuk membeli barangan di samping faktor cuaca.