Bekas ahli Al-Maunah bertemu jodoh di usia 50 tahun - Utusan Malaysia

Bekas ahli Al-Maunah bertemu jodoh di usia 50 tahun

AHMAD Sarkawi Sulong bersama isterinya, Siti Hawa Harun dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan pada tahun lalu menerusi pengampunan Yang di-Pertuan Agong, selamat melangsungkan perkahwinan pagi tadi.

Ahmad Sarkawi Sulong, 50, dari Kampung Bukit Tok Bat di sini bertemu jodoh dengan pasangannya, Siti Hawa Harun, 34, dari Kampung Sekayu di daerah sama selepas mengikat tali pertunangan pada Mac lalu.

Pasangan pengantin itu dinikahkan di Pejabat Agama Daerah kira-kira pukul 11 pagi setelah tiga kali perancangan mereka tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Sarkawi bersyukur kerana impian disatukan dengan isteri akhirnya menjadi kenyataan, malah sama sekali tidak menyangka dapat bertemu jodoh dalam masa singkat dengan kisah hidup yang pernah dilalui di sebalik tirai besi.

“Berdasarkan perancangan awal, akad nikah kami sepatutnya diadakan pada 5 Jun lalu dan saya terharu apabila ada yang sudi menerima diri seadanya dengan kerja yang tidak seberapa sebagai tukang kebun.

“Wanita seperti isteri, ibarat satu dalam sejuta yang sukar ditemukan,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Sarkawi berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan membahagiakan suri hatinya hingga ke akhir hayat.

Dia merupakan antara 13 bekas ahli Al-Maunah yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, namun diberikan pembebasan awal susulan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya