SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjamin bekalan gula di seluruh negara kembali pulih seratus peratus setelah bekalannya dilaporkan berkurangan, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, masalah bekalan gula berlaku disebabkan kilang pemprosesan gula di Prai , Pulau Pinang menghadapi kerosakan ‘boiler’.
“Bagi memastikan bekalan gula tidak menghadapi masalah dan cukup di pasaran, hari ini saya datang ke kilang ini untuk memastikan stok dan keberadaan gula terjamin. Ini disebabkan berlaku masalah pengeluaran di kilang gula Prai.
“Sebelum ini kita mendapat laporan daripada pemborong di Pantai Timur seperti di Pahang dan Terengganu bahawa stok mereka sudah berkurangan. Oleh sebab itu hari ini saya mengambil inisiatif melihat sendiri keberadaan gula di kilang ini, “katanya selepas melawat Kilang Gula Central Sugar Refinery (CSR) di Batu Tiga, di sini hari ini.
Rosol berkata, selepas melihat sendiri operasi dan mendengar taklimat CSR, pihaknya yakin bekalan gula mencukupi di pasaran.
“Hasil tinjauan di sini, walaupun stok dikatakan berkurangan tetapi masih boleh bertahan.Kilang gula di Prai pun sudah boleh beroperasi dan bekalan tidak menjadi isu,”katanya.
Mengulas mengenai isu kenaikan harga minyak masak, beliau berkata pihaknya telah bermesyuarat dengan Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi dan Kementerian Kewangan Rabu lepas yang menampakkan hasil positif.
“Esok kita akan tahu keputusan berhubung isu tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE