Beberapa pemimpin politik memasuki Istana Negara - Utusan Malaysia

Beberapa pemimpin politik memasuki Istana Negara

KENDERAAN yang membawa Wee Ka Siong tiba di Istana Negara untuk sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tiba di Istana Negara pada pukul 11.50 pagi melalui Pintu 2 menaiki kereta Toyota Vellfire putih.

Beliau sekali gus menjadi pemimpin parti politik kedua hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pagi tadi, kereta dinaiki Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat meninggalkan Istana Negara pada pukul 11.35 pagi tadi selepas lebih sejam berada di dalamnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak berhenti untuk bertemu petugas media yang sudah berkumpul di luar Pintu 2 Istana Negara sejak awal pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Pukul 10.30 pagi tadi, beliau dilihat tiba di Istana Negara setelah mendapat pengesahan daripada pegawainya bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Presiden Penaja Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad pula dijangka tiba masing-masing pada pukul 2.30 dan 3.30 petang ini bagi menghadap Seri Paduka.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tiba di Istana Negara menghadap Seri Paduka.

Pemimpin UMNO pula dikatakan akan dipanggil pada esok dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima jemputan menghadap Seri Paduka pada 14 Jun – hari terakhir sekatan pergerakan penuh oleh kerajaan.

Setakat ini, tujuan menghadap Seri Paduka masih belum terjawab dan cakap-cakap pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit sama sekali selepas Anwar menghadap Seri Paduka semalam.

Pun begitu, Anwar dilaporkan membangkitkan dan merayu kepada Seri Paduka untuk menghalang darurat yang berkuat kuasa dari 11 Januari lalu dan dijangka tamat pada 1 Ogos tidak dilanjutkan.

Guan Eng membangkitkan soal bantuan kewangan kepada rakyat dan Mat Sabu meminta agar Parlimen yang kini tergantung kembali bersidang seperti biasa.

Istana Negara akan menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini atas titah perkenan Seri Paduka.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan Pejuang Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Tamat Darurat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memaklumkan, Seri Paduka berkenan menghadap semua pemimpin tertinggi parti politik kerajaan dan pembangkang.

Sebelum ini, jawatan kuasa itu bersetuju untuk menghadap Seri Paduka bagi memohon campur tangan Al-Sultan Abdullah untuk menamatkan proklamasi darurat yang berakhir 1 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya