PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 764 individu ditahan dengan seramai 722 daripadanya dikompaun manakala 42 lagi direman.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi ialah gagal merekod butiran di premis sebanyak 162 kes diikuti tiada memakai pelitup muka dengan 138 kes, merentas kawasan dan makan di premis (100), tiada jarak fizikal (94), tidak patuh arahan PKP (91), membawa penumpang secara berlebihan (78) dan lain-lain (101).
“Seramai 25 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan dua buah kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 227 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui tiga aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 391 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin bersama sejumlah 7,927 individu masih lagi berada di pusat kuarantin seluruh negara, selain 2,728 individu dibawa ke hospital, manakala 217,335 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 584 peruncit, 164 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,428 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 22 premis dikompaun dan satu premis diberikan nasihat. – UTUSAN ONLINE