Bawa daun ketum RM45,150, salah guna surat kebenaran rentas negeri - Utusan Malaysia

Bawa daun ketum RM45,150, salah guna surat kebenaran rentas negeri

ZAIHAM Mohd. Kahar (depan) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang lelaki menyalahgunakan surat kebenaran rentas negeri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika ditahan membawa satu lori daun ketum dalam sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong di sini semalam.

Daun ketum seberat 1,505 kilogram yang dibungkus dalam kotak dan plastik itu difahamkan dibawa dari sebuah negeri di utara untuk dihantar ke Kuantan.

Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, berdasarkan pemeriksaan terhadap sebuah lori pada pukul 8.30 pagi itu menemukan 1,505 kilogram daun ketum bernilai RM45,150.

Jelasnya, ketika ditahan, lelaki berkenaan menyatakan tidak membawa apa-apa barang dan mempunyai surat kebenaran untuk rentas negeri.

“Ekoran curiga, anggota yang bertugas melakukan pemeriksaan dalam lori sebelum menemukan sejumlah daun ketum.

“Suspek yang berusia 28 tahun direman empat hari dan polis merampas sejumlah daun ketum yang boleh menghasilkan 30,200 bungkus air ketum serta merampas wang tunai berjumlah RM1,900 serta menyita sebuah lori tiga tan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Zaiham berkata, siasatan mendapati daun ketum itu dibawa dari sebuah negeri di utara Sabtu lalu oleh seorang lelaki sebelum lori berkenaan mengalami kerosakan di Rawang, Selangor.

“Muatan daun ketum itu kemudiannya dipindahkan ke lori lain dan digantikan pemandu lain iaitu suspek yang dibayar wang pendahuluan RM1,500 dan baki RM1,500 lagi dijanjikan akan dibayar selepas serahan barangan.

“Pada masa ini siasatan masih giat dilakukan dan pihak polis masih mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Sham berusia 20-an yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Sekysen 30 (3) Akta Racun 1962, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum selama empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau memberitahu, suspek mempunyai rekod lima kes lampau bagi kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori negatif dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya