PERMATANG PAUH: Seramai 359 penuntut Politeknik Seberang Perai (PSP) khususnya yang menetap di dalam kawasan kampus di sini menerima bantuan bekalan makanan baru-baru ini.
Difahamkan, bantuan berkenaan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Sekretariat Food Bank di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk diagihkan ke beberapa institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Pengarah PSP, Harith Fadzilah Abd. Khalid berkata, inisiatif dan usaha murni itu sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi warga PSP khususnya penuntut di situ.
Pada masa sama kata beliau, dengan adanya bantuan tersebut golongan terbabit diharap dapat memberikan lebih fokus dan tumpuan terhadap sesi pembelajaran di kampus sepanjang tempoh pengajian.
“Dalam hal ini, pihak Koperasi PSP juga bersetuju menyerahkan sumbangan dalam bentuk bekalan roti Gardenia kepada mereka yang diedarkan bersama bantuan bekalan makanan itu,” katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja pengagihan bantuan bekalan makanan itu dibuat di pejabat asrama PSP Jumaat lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh kira-kira dua jam.
“Rata-rata penerima yang ditemui juga gembira dengan bantuan yang disampaikan ini yang disifatkan dapat meringankan beban mereka ketika di kampus,” jelas beliau.